2011 GD.com Sdn Bhd. Powered by Blogger.
RSS

Anita Bin Ali


LAKSA Shack bukan satu jenama asing dalam industri peruncitan makanan dan minuman tempatan. Walaupun berdepan kehadiran rangkaian restoran antarabangsa terkenal, Laksa Shack mempunyai keistimewaan tersendiri, khususnya dalam memenuhi cita rasa pelanggan berpendapatan sederhana. Rangkaian restoran Laksa Shack yang dimiliki oleh syarikat Bumiputera, Sierra Circle Sdn Bhd, telah melancarkan cawangan pertamanya di pusat beli belah One Utama, Petaling Jaya pada 2003.
 
Bermula dari situ, Laksa Shack mula berkembang di lokasi tumpuan, khususnya pusat beli belah utama di sekitar Lembah Klang termasuk Suria KLCC dan kemudian mengembangkan cawangan di hampir ke seluruh Semenanjung. Sehingga kini, Sierra Circle yang diterajui pengasas merangkap Pengarah Urusannya, Anita Ali, telah membuka kira-kira 30 restoran Laksa Shack termasuk 10 cawangan yang beroperasi secara francais.

Anita berkata, Laksa Shack kini bersedia memperluaskan perkhidmatannya dalam industri makanan dan minuman di dalam dan luar negara menerusi program francais yang mula diperkenalkannya tahun lalu. 
Katanya, ini termasuk membuka cawangan baru Laksa Shack di unit rumah kedai dan bangunan kerajaan yang mana sebelum ini syarikat lebih menumpukan di pusat beli belah. 

“Ini antara strategi Laksa Shack dalam mencapai matlamat menjadi antara peneraju dalam pasaran halal, khususnya perkhidmatan dan penyediaan makanan tradisional yang cepat,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di Subang Jaya, baru-baru ini.

Beliau menambah, syarikat merancang membuka antara lapan hingga 10 cawangan baru francais sepanjang tahun ini yang akan ditumpukan di luar kawasan Lembah Klang, khususnya Ipoh, Kuantan dan Johor. Katanya, bakal francaisi perlu menjalani sesi temuramah dan ujian sebelum melayakkannya menjalani siri latihan yang merangkumi dari aspek pengurusan, perkhidmatan pelanggan dan jualan berdasarkan manual latihan disediakan.

“Kami mempelawa bakal usahawan Bumiputera yang layak untuk menyertai program francais Laksa Shack yang menyediakan pakej pelaburan lengkap dari RM200,000 hingga RM500,000,” katanya sambil menambah pakej itu termasuk yuran francais sebanyak RM50,000.

Anita berkata, pihaknya hanya mengenakan bayaran royalti sebanyak tiga peratus dan 2.5 peratus bagi pengiklanan dan promosi, masing-masing daripada jualan kasar bulanan. Katanya, sebuah restoran Laksa Shack memerlukan antara enam hingga 15 kakitangan yang bergantung kepada keluasan kedai, kebiasaannya dari 200 kaki persegi hingga 1,300 kaki persegi.

“Syarikat juga akan memperkenalkan perniagaan konsep kiosk yang boleh ditempatkan di bangunan kerajaan, hospital dan bangunan korporat sebelum akhir tahun ini dalam usaha mempertingkatkan saluran pengedarannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sierra Circle merancang melabur kira-kira RM5 juta bagi membuka lima lagi cawangan Laksa Shack, terutama di Pantai Timur, Johor dan Negeri Sembilan menjadikan keseluruhan cawangan miliknya kepada 35 cawangan. Katanya, syarikat juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat di Indonesia, Singapura dan Brunei bagi melantik pemegang francais induk di negara berkenaan yang dijangka dimuktamadkan awal tahun depan.

Bagi memastikan Laksa Shack sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi makanan dan resipi, Anita berkata syarikat turut melabur dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) dari aspek peningkatan produk, pembangunan produk baru dan menaik taraf sistem operasi. Katanya, ketika ini Laksa Shack menyediakan lapan jenis menu laksa merangkumi laksa kari, laksa lemak Singapura, laksa Johor, asam laksa selain set nasi beriyani serta masakan Asia yang lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, syarikat juga melabur kira-kira RM15 juta bagi membina kilang pengeluaran baru di U5, Shah Alam bagi menggantikan kilang di Kelana Jaya dan ia dijangkakan mula beroperasi pertengahan tahun ini. Syarikat juga mensasarkan pertumbuhan jualan 10 peratus tahun ini daripada RM20 juta tahun lalu menerusi rancangan pengembangan program francais dan pembukaan cawangan baru, katanya.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment