2011 GD.com Sdn Bhd. Powered by Blogger.
RSS

Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin


SEPANJANG 14 tahun menerajui sistem franchis makanan segera hot dog yang satu-satunya milik bumiputera, pada dasarnya tidak berlalu dengan sebegitu mudah. Tetapi bagi pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nineteen One atau lebih dikenali Hotdog 1901, Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin, 43, dengan berbekalkan prinsip tidak takut gagal dan semangat yang cekal sahaja mampu membuatkan syarikat itu berdiri teguh sehingga ke hari ini.

''Langit tidak selalu cerah dan begitu juga dengan 1901 di mana turut berhadapan dengan risiko naik turun di dalam perniagaan,'' katanya ketika ditemui di kiosk 1901 di Sunway Giza, Kota Damansara baru-baru ini.

Tengku Rozidar juga memberitahu dia tidak malu untuk menceritakan bahawa pernah melalui pengalaman menggadaikan barang kemas dan kereta mewah hanya untuk melangsaikan segala hutang demi perniagaan.
Tetapi itu semua bukan pematah semangat sebaliknya menjadi pendorong untuk meletakkan 1901 pada kedudukan yang sepatutnya seperti hari ini.

''Pelanggan hanya tahu 1901 terus ada supaya mereka dapat terus menikmati hot dog yang disediakan dalam pelbagai resipi enak, berkhasiat, bersih dan dengan harga yang berpatutan,'' katanya.

Jelas Tengku Rozidar, semangatnya memang tidak boleh pudar semata-mata kerana tidak sanggup berhadapan dengan masalah yang melanda.

''Situasi itu berulang lagi pada tahun lalu sehingga menyebabkan cawangan 1901 di Singapura dan Indonesia terpaksa ditutup,'' katanya.

Katanya, membuka cawangan di luar negara memang berisiko tinggi tetapi masalah yang dihadapi masih terkawal.

''Sukar sebenarnya untuk mengendalikan cawangan di luar negara kerana dalam masa yang saya harus memantau semua cawangan di sini,'' katanya.

Lebih memeritkan lagi kata Tengku Rozidar, dia juga terpaksa memberhentikan sejumlah pekerja supaya dapat menguncupkan perbelanjaan kewangan. Antara puncanya kerana pada ketika itu dia berdepan dengan masalah pekerja yang tidak jujur terutamanya yang melibatkan hal kewangan. Tetapi Tengku Rozidar tetap percaya bahawa setiap masalah itu tetap ada jalan keluarnya.

''Saya juga tidak suka mengaku kalah, apa yang penting memberikan sepenuh perhatian untuk menyelesaikannya secara tenang,'' katanya.

Katanya, setelah semua cawangan luar negara ditutup maka dia mula menumpukan sepenuh pemerhatian ke atas semua cawangan di dalam negara supaya berjalan dengan lancar dan sempurna. Tengku Rozidar mengakui ketika bekerja dia memang seorang yang amat tegas.

''Saya akui ada kalanya garang tetapi sikap itu memang bertempat supaya segala arahan yang diberikan kepada kakitangan berjalan dengan baik. Sebarang keputusan biasanya dikaji secara terperinci dan kerana itu biasanya tidak akan ditarik balik,'' tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, ketegasan ini membuatkan dirinya akhirnya telah berjaya memulihkan semula kedudukan 1901 yang hampir goyah dalam jangka masa hampir setahun. Memang perit katanya, tetapi demi memikirkan nasib franchisor terletak di tangannya, maka Tengku Rozidar meletakkan kepentingan syarikat di tempat teratas berbanding dengan soal peribadi.

''Apa yang penting saya mahukan 1901 terus memberikan perkhidmatan makanan segera yang berkhasiat lagi halal untuk rakyat di negara ini,'' katanya.

Menurut beliau, perniagaan dalam bidang makanan ini sebenarnya rumit bukan sahaja perlu menitikberatkan dari segi kebersihan malah sehingga kepada layanan kepada pelanggan. Atas sebab itu, dia sentiasa menasihatkan franchisornya supaya jangan membiarkan 1901 hanya diuruskan oleh pekerja sahaja. Tengku Rozidar memberitahu, franchisor tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu berkerja kuat setelah sanggup melabur wang dalam jumlah yang besar.

''Sepatutnya franchisor itu yang perlu berada di kiosknya sendiri sepanjang masa dan cuba untuk memasarkan sendiri demi untuk memastikan produk yang dijual itu mampu mengaut keuntungan,'' katanya.

Namun kata Tengku Rozidar, bagi memastikan semua franchisor di bawahnya berjaya maka dia dari semasa ke semasa akan bertemu dengan mereka. Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh menumpukan perhatian kepada semua frachisor 1901 ini dalam satu-satu masa. Beliau akui agak sedih apabila ada franchisor yang terpaksa menutup perniagaan begitu sahaja sehingga menyebabkan semua duit yang dilaburkan dari hasil titik peluh semasa bekerja hilang begitu sahaja. Sehubungan itu, katanya kejayaan 1901 memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan franchise milik anak Melayu ini mampu bersaing pada bila-bila masa pun.

Sumber:
www.utusan.com.my


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Anita Bin Ali


LAKSA Shack bukan satu jenama asing dalam industri peruncitan makanan dan minuman tempatan. Walaupun berdepan kehadiran rangkaian restoran antarabangsa terkenal, Laksa Shack mempunyai keistimewaan tersendiri, khususnya dalam memenuhi cita rasa pelanggan berpendapatan sederhana. Rangkaian restoran Laksa Shack yang dimiliki oleh syarikat Bumiputera, Sierra Circle Sdn Bhd, telah melancarkan cawangan pertamanya di pusat beli belah One Utama, Petaling Jaya pada 2003.
 
Bermula dari situ, Laksa Shack mula berkembang di lokasi tumpuan, khususnya pusat beli belah utama di sekitar Lembah Klang termasuk Suria KLCC dan kemudian mengembangkan cawangan di hampir ke seluruh Semenanjung. Sehingga kini, Sierra Circle yang diterajui pengasas merangkap Pengarah Urusannya, Anita Ali, telah membuka kira-kira 30 restoran Laksa Shack termasuk 10 cawangan yang beroperasi secara francais.

Anita berkata, Laksa Shack kini bersedia memperluaskan perkhidmatannya dalam industri makanan dan minuman di dalam dan luar negara menerusi program francais yang mula diperkenalkannya tahun lalu. 
Katanya, ini termasuk membuka cawangan baru Laksa Shack di unit rumah kedai dan bangunan kerajaan yang mana sebelum ini syarikat lebih menumpukan di pusat beli belah. 

“Ini antara strategi Laksa Shack dalam mencapai matlamat menjadi antara peneraju dalam pasaran halal, khususnya perkhidmatan dan penyediaan makanan tradisional yang cepat,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di Subang Jaya, baru-baru ini.

Beliau menambah, syarikat merancang membuka antara lapan hingga 10 cawangan baru francais sepanjang tahun ini yang akan ditumpukan di luar kawasan Lembah Klang, khususnya Ipoh, Kuantan dan Johor. Katanya, bakal francaisi perlu menjalani sesi temuramah dan ujian sebelum melayakkannya menjalani siri latihan yang merangkumi dari aspek pengurusan, perkhidmatan pelanggan dan jualan berdasarkan manual latihan disediakan.

“Kami mempelawa bakal usahawan Bumiputera yang layak untuk menyertai program francais Laksa Shack yang menyediakan pakej pelaburan lengkap dari RM200,000 hingga RM500,000,” katanya sambil menambah pakej itu termasuk yuran francais sebanyak RM50,000.

Anita berkata, pihaknya hanya mengenakan bayaran royalti sebanyak tiga peratus dan 2.5 peratus bagi pengiklanan dan promosi, masing-masing daripada jualan kasar bulanan. Katanya, sebuah restoran Laksa Shack memerlukan antara enam hingga 15 kakitangan yang bergantung kepada keluasan kedai, kebiasaannya dari 200 kaki persegi hingga 1,300 kaki persegi.

“Syarikat juga akan memperkenalkan perniagaan konsep kiosk yang boleh ditempatkan di bangunan kerajaan, hospital dan bangunan korporat sebelum akhir tahun ini dalam usaha mempertingkatkan saluran pengedarannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sierra Circle merancang melabur kira-kira RM5 juta bagi membuka lima lagi cawangan Laksa Shack, terutama di Pantai Timur, Johor dan Negeri Sembilan menjadikan keseluruhan cawangan miliknya kepada 35 cawangan. Katanya, syarikat juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat di Indonesia, Singapura dan Brunei bagi melantik pemegang francais induk di negara berkenaan yang dijangka dimuktamadkan awal tahun depan.

Bagi memastikan Laksa Shack sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi makanan dan resipi, Anita berkata syarikat turut melabur dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) dari aspek peningkatan produk, pembangunan produk baru dan menaik taraf sistem operasi. Katanya, ketika ini Laksa Shack menyediakan lapan jenis menu laksa merangkumi laksa kari, laksa lemak Singapura, laksa Johor, asam laksa selain set nasi beriyani serta masakan Asia yang lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, syarikat juga melabur kira-kira RM15 juta bagi membina kilang pengeluaran baru di U5, Shah Alam bagi menggantikan kilang di Kelana Jaya dan ia dijangkakan mula beroperasi pertengahan tahun ini. Syarikat juga mensasarkan pertumbuhan jualan 10 peratus tahun ini daripada RM20 juta tahun lalu menerusi rancangan pengembangan program francais dan pembukaan cawangan baru, katanya.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Haji Ramly Bin Mokni


Perusahaan Burger Ramly Mokni Sdn. Bhd. telah didaftarkan penubuhannya  pada 13 Julai 1984 dan telah beroperasi dengan jayanya selama 25 tahun di Kawasan Perindustrian Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Syarikat ini menjalankan operasi memproses dan mengeluarkan produk makanan berasaskan daging lembu, ayam dan hasilan laut seperti  burger, nuget, sosej dan lain-lain.

Haji Ramli Bin Mokni, pemilik syarikat ini, berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ini. Bermula dengan pengeluaran secara manual dan kecil-kecilan, beliau kini telah berjaya mengembangkan perniagaan ini ke tahap komersial.Bermula dengan pinjaman yang kecil dari Bank Pembangunan pada tahun 1982, syarikat kini telah berkembang dan membesar kepada syarikat induk Ramly Mokni Holding Berhad dan anak-anak syarikat iaitu Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Pemasaran Ramly Mokni Sdn. Bhd., Ramly Supermart Sdn. Bhd. dan Ramly Mokni Bakeri Sdn. Bhd. Syarikat telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan atas kecermelangan prestasi iaitu Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Pelanggan Pembangunan (1984) dan Anugerah Usahawan Jaya (1992). 

Pada 2008, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. membuat pelaburan menjangkau RM15 juta bagi pembesaran kilang di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Kuala Lumpur. Pembesaran kilang ini dan penggunaan teknologi yang lebih baik juga dapat meningkatkan hasil pengeluaran sehingga 3 kali ganda. Di samping mempertingkatkan pengeluaran dan dalam waktu yang sama kualiti produk menjadi keutamaannya.

Penggunaan teknologi mesin dari awal proses hingga akhir dengan tenaga kerja yang berkemahiran dalam pengendalian mesin dijangka mampu memastikan matlamat syarikat ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. SME Bank telah meluluskan pembiayaan syariah kepada Ramly Food Processing Sdn. Bhd. bagi membiayai kos pembelian bahan mentah syarikat ini. Produk-produk syarikat ini telah dikenali ramai dan berkualiti tinggi. Syarikat ini merupakan syarikat Bumiputera terkemuka yang telah mencipta nama dalam industri makanan sejuk beku di negara ini.

Sumber:


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Taib Bin Muda

MENGENANGKAN kehidupannya yang miskin lebih 25 tahun lalu, siapa sangka beliau boleh menjadi jutawan hanya mengusahakan keropok. Itulah pencapaian menakjubkan Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong yang tidak mengenal kegagalan atau putus asa dalam perniagaan bagi memastikan impiannya menjadi usahawan berjaya tercapai. 

Bagi penggemar keropok kering dan lekor dari dalam dan luar Terengganu, produk Keropok Ori keluaran Pak Embong bukanlah asing kerana terkenal dengan keenakan dan keasliannya. Pembabitan awal Pak Embong dari Kampung Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu, dalam bidang itu bermula pada 1985 apabila bertekad keluar daripada kepompong kemiskinan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau ketika itu yang bekerja sebagai buruh terpaksa menanggung tujuh anak dengan pendapatan tidak menentu.

“Bayangkanlah dengan gaji sebagai buruh yang tidak seberapa saya terpaksa menanggung ramai ahli keluarga hingga ada ketika mengikat perut semata-mata untuk memastikan anak cukup makan dan pakaian,” katanya yang kini Pengarah Urusan Orisahanif Enterprisetika.

Selepas berbincang bersama isterinya, Suri Ngah Taib, 40, yang setia mengharungi kesusahan dihadapi mereka, Pak Embong mendapat ilham untuk memulakan perniagaan keropok kering dan lekor secara kecil-kecilan. Walaupun pernah ada kata-kata sinis dilemparkan kepada dirinya dan keluarga ketika memulakan perniagaan, ia dianggap sebagai asam garam dan pencetus semangat untuk terus berjaya.

Dengan bermodalkan RM200, beliau yang masih muda ketika itu membuang perasaan malu apabila sanggup mengayuh beca sejauh 25 kilometer setiap hari bagi mendapatkan bekalan ikan dari jeti Jabatan Perikanan di Pulau Kambing. Menurutnya, keropok lekor yang siap diproses bersama isterinya itu dijual di sekitar kampung dan bandar Kuala Terengganu.

Rutin mengayuh beca dengan menjaja keropok berterusan lebih sepuluh tahun sebelum keuntungan yang dikumpul dijadikan modal untuk membuka kedai menjual makanan tradisi itu di Paka, Terengganu dan Johor Bharu, Johor pada 2001. Bagaimanapun, perniagaan berkenaan diserahkan kepada rakan niaganya untuk diuruskan sebagai strategi memperkenalkan jenama Keropok Ori.

Walaupun terpaksa menempuh jatuh dan bangun, termasuk ditipu pada peringkat awal, ia bukan penghalang buat Pak Embong untuk terus bangkit memanfaatkan modal yang dikumpulkan untuk membuka kedai keropok di Kampung Losong Haji Su pada 2006 selain berniaga di pasar malam. Ternyata usaha dan strateginya tidak sia-sia apabila keropok keluarannya menerima sambutan hangat, terutama daripada orang luar yang bertandang ke perkampungan berkenaan.

Menyedari potensi perniagaan terbabit untuk dikembangkan, Pak Embong berkata, beliau melebarkan sayap perniagaan dengan membuka empat lagi cawangan kedai keropok di Cameron Highlands, Pahang dan Gua Musang, Kelantan awal Januari lalu. Kini operasi perniagaan keropoknya berjalan lancar dan semua cawangan berkenaan memberi pulangan seperti diharapkannya dengan purata keuntungan RM30,000 sebulan. Keuntungan itu juga mampu mencecah RM100,000 sebulan pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Dengan memegang prinsip `di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, beliau kini boleh berbangga kerana usahanya untuk keluar daripada kancah kemiskinan berjaya, malah mampu memperoleh pendapat lumayan hasil perniagaan keropok. Pak Embong sekarang banyak menghabiskan masanya mengurus semua cawangan kedai keropoknya selain turun ke padang bertemu pelanggan. Selain itu, bagi menampung permintaan tinggi bekalan keropok, beliau membuka pusat memproses yang berkemampuan menghasilkan satu tan keropok lekor dan kering setiap hari.

Walaupun hidup semakin mewah dengan hasil perniagaan keropok, Pak Embong tidak pernah melupakan kesusahan dilalui, terutama ketika terpaksa mengayuh beca untuk menjual keropok. Malah, beliau sanggup menggunakan beberapa kereta mewah miliknya seperti Mitsubishi Evolution, BMW dan pacuan empat roda mengangkut isi ikan yang siap diproses dari pusat memproses sebelum dihantar ke kedainya. Bagi Pak Embong, kejayaan diperoleh umpama mimpi daripada seorang buruh kini dirinya mampu memiliki kehidupan lebih baik berbanding ketika mula-mula menjalankan perniagaan berkenaan.

“Semuanya ini hasil daripada hasil doa selain keberkatan Tuhan terhadap usaha gigih saya untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik. Walaupun kejayaan ini tidak dikecapi dengan mudah, ia sebenarnya satu hikmah kepada saya supaya sentiasa menginsafi diri walaupun sudah berjaya,” katanya.

Ternyata, pelawat yang datang ke Terengganu menjadikan kedai Pak Embong sebagai destinasi persinggahan yang pasti untuk membeli keropok kering dan lekor. 

“Kebiasaannya bas rombongan menjadikan kedai kami ini sebagai pelengkap lawatan mereka bagi mendapatkan keropok yang enak sebagai santapan pulang ke negeri mereka. Dengan harga munasabah dan dengan slogan ‘Rasa Dulu Baru Beli’ membuatkan pelanggan berasa selesa untuk mencuba sebelum membeli,” katanya.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Datuk Jamal Bin Md. Yunos


"Semakin susah sesuatu itu untuk diperolehi, semakin teruja saya untuk berusaha mendapatkannya”. Itulah ungkapan yang sering menjadi dorongan kepada Pengasas Restoran Sekinchan Ikan Bakar (RSIB), Datuk Jamal Md. Yunos untuk menjadi salah seorang usahawan muda berjaya di Malaysia. Walaupun pernah merasai detik hitam apabila gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) satu masa dahulu, namun ianya sama sekali tidak pernah mematahkan semangat anak kelahiran Sekinchan di Kuala Selangor tersebut.

“Saya dilahirkan dalam keluarga susah dan naluri untuk berniaga lahir dengan sendiri tanpa didorong oleh sesiapa. Siapa sangka bermula dengan perniagaan pertama iaitu menjual buah mangga yang diperoleh dari pohon di hadapan rumah ketika berusia lapan tahun, saya mampu mempunyai 25 buah syarikat pada usia 40 tahun,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Namun begitu, katanya, kejayaan tersebut bukan datang bergolek tetapi diuji terlebih dahulu dengan pelbagai dugaan yang banyak mematangkan pemikiran sehingga melangkaui usianya yang baru menjangkau 17 tahun ketika berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1987. Katanya, setelah gagal menyesuaikan diri dengan pekerjaan makan gaji, beliau memberanikan diri untuk menjalankan perniagaan sendiri dengan menjual burger di pasar malam walaupun ketika itu kawasan tersebut dikuasai peniaga asing khususnya dari Indonesia sehingga rakyat tempatan terpaksa mengalah.

“Saya pernah dibelasah oleh sekumpulan perniaga asing kerana berebut tapak pasar malam di Kuala Lumpur dan parutnya masih kekal di kening sebelah kanan hingga hari ini. “Bagi saya tempat yang strategik untuk berniaga adalah tempat yang paling susah untuk diperolehi, oleh itu saya mempertaruhkan nyawa saya untuk memperolehnya dan akhirnya berjaya berkat sokongan rakan-rakan,” katanya.

Jamal berkata, prinsip perniagaan saya adalah tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang sudah diperolehi dan berusaha untuk meningkatkannya walaupun dianggap mustahil oleh orang lain.

“Jika kita dapat RM100 pada minggu ini, kita perlu berusaha untuk mendapatkan RM200 kemudian RM300 sehingga RM1,000 pada minggu-minggu berikutnya,” ujarnya.

Jamal berkata, pengalaman bergelut untuk hidup sendiri di bandar raya Kuala Lumpur telah banyak memberi pengalaman yang berguna dan banyak mempengaruhi setiap keputusan perniagaan yang dibuat. Katanya, hidup di Kuala Lumpur kita perlu peka menghidu peluang dan pantas membuat sebarang keputusan kerana persaingan yang sangat kuat.

“Jika hati kita berkata ya kepada sesuatu, teruskan. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Jangan takut untuk gagal kerana tiada kejayaan tanpa disulam kegagalan,” nasihatnya kepada usahawan muda yang ingin mengecapi kejayaan.

Sementara itu, matlamat terakhir beliau sebelum mengundurkan diri daripada dunia perniagaan pada masa depan adalah memastikan nama Sekinchan terkenal seperti Langkawi di peta Malaysia dan dunia. Katanya, untuk merealisasikan idea tersebut, nama Sekinchan perlu menjadi sebutan ramai dan tertera di merata tempat meliputi industri makanan dan minuman, pelancongan dan pelbagai lagi.

Sumber:

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tuan Haji Mohd. Tamin

Cerita mengenai Kicap TAMIN bermula pada tahun 1951 apabila Tuan Haji Mohd. Tamin berjaya menemui ramuan untuk menghasilkannya. Ia bermula sebagai produksi kecil-kecilan di Batu Gajah, Perak. Tuan Haji Mohd. Tamin memulakan perniagaan beliau dengan hanya bermodalkan RM10 tetapi semangat dan azam yang tinggi berjaya menghasilkan kira-kira 700 botol kicap sehari dengan bantuan ahli-ahli keluarga beliau. Walaupun dengan kapasiti pengeluaran yang kecil, kebersihan, kualiti dan rasa sos tidak diabaikan. Proses pemilihan dan campuran ramuan seperti kacang soya, tepung gandum dan sebagainya dilakukan dengan teliti untuk memastikan kualiti kicap yang terjamin.

Setelah setahun, permintaan terhadap Kicap TAMIN melebihi jangkaan. Kicap ini mula dikenali di kalangan suri rumahtangga dan komuniti sekitar kampung. Golongan muda dari kampung yang berhijrah ke kawasan bandar membawa bersama Kicap TAMIN dan secara tidak langsung mereka inilah yang memperkenalkan kicap yang enak dan menyelerakan ini kepada penduduk di bandar. Demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Tuan Haji Mohd. Tamin mengambil langkah meningkatkan pengeluaran 3,500 botol sehari.  Peningkatan kehendak dan kepopularan Kicap TAMIN telah mendorong Tuan Haji Mohd. Tamin untuk mengembangkan perniagaan beliau dengan mendirikan sebuah kilang di Enggor, tidak jauh dari Bandar Diraja negeri Perak - Kuala Kangsar. Semakin banyak pekerja diambil untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 9,000 botol sehari. Hari ini, Kicap TAMIN boleh didapati di seluruh Semenanjung Malaysia.


Kini, nama TAMIN dikenali ramai dengan sos dan kicap yang bermutu tinggi. Reputasi ini dibina selama kini oleh allahyarham Tuan Haji TaminUsaha beliau diteruskan oleh keluarganya di kedua-dua kilang yang menggunakan teknologi semasa dan mesin-mesin moden di Perak Darul Ridzuan. Terdapat dua kilang yang mengeluarkan produk Tamin ketika ini iaitu di Enggor, Kuala Kangsar serta di Batu Gajah, Perak. Walaupun produksi kian bertambah, rasa asli Kicap TAMIN tetap sama seperti yang dirasa pada tahun 1951. Komitmen terhadap kualiti ternyata sehingga TAMIN dapat mengembangkan pasaran di United Kingdom.

Terdapat 28 produk yang dihasilkan oleh Syarikat  Tamin.

1.       Kicap Istimewa
2.       Kicap Putra
3.       Kicap Putri
4.       Kicap Mee
5.       Kicap Lemak Manis
6.       Kicap Lemak Masin
7.       Kicap Perdana
8.       Kicap Cair Tamin
9.       Kicap Soya Istimewa
10.   Sos Tiram
11.   Cuka Buatan
12.   Cuka Buatan - Cap Tamin
13.   Sos Cili
14.   Sos Tomato
15.   Asam Jawa
16.   Tepung Jagung
17.   Tepung Ubi Kayu
18.   Garam Halus
19.   Kerisik Kelapa
20.   Ceriping Pedas
21.   Bihun Perdana
22.   Vermicelli
23.   Tepung Kentucky
24.   Sop Tulang
25.   Taucu - Kacang Masin
26.   Taucu - Cap Tamin
27.   Perisa Rose
28.   Cencaluk

Sumber:




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Norlia Binti Yusof

PENGALAMAN demi pengalaman yang ditimba semasa berada di Australia lebih 20 tahun tidak dibiarkan tenggelam begitu saja. Dengan kerjasama beberapa rakan, mereka bergabung untuk menjadi pembekal daging halal untuk dihantar ke tanah air. Ini menyebabkan Norlia Yusof perlu mempelajari kaedah memotong daging selain pemasaran memandangkan kemahiran tersebut merupakan kriteria yang diperlukan di sana.

"Setelah lama berulang-alik dari Australia ke Malaysia, akhirnya saya memutuskan untuk kembali ke tanah air," katanya semasa ditemui di premisnya Hajjah Aminah Food Industries Sdn. Bhd. di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sekembali ke tanah air Norlia membuka kilang di Shah Alam, Selangor bagi membekalkan daging lembu halal. Ketika itu, pelanggan utamanya terdiri daripada beberapa syarikat penerbangan dan restoran makanan Barat yang terkenal di negara ini. Jumlah jualan bulanan kilang berkenaan pernah mencapai sehingga RM1 juta sebulan menjadikannya syarikatnya pembekal utama daging segar ke negara ini. Bagaimana selepas rakan kongsi berpecah, Norlia kembali ke Australia tetapi tidak lama kemudian kembali semula ke tanah air.

Pelbagai cabaran yang dihadapi, perniagaannya bagaikan fenomena air laut yang mempunyai pasang surut sehingga entah mana silapnya sehingga kilangnya di Shah Alam beralih tangan. Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat Norlia untuk bangkit semula. Berbekal pengalaman memasak, Norlia membuka restoran makanan Barat di Puchong   Perdana sebagai mengubat hati. Bagaimanapun sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan sebelumnya mendorongnya berusaha mendapat pesanan daripada chef-chef hotel terkemuka. Memikirkan permintaan daripada bekas pelanggan, Norlia sedaya-upaya memenuhi segala tempahan sebaik-baiknya.Bagaimanapun keceriaannya yang ada tidak kekal lama apabila tuan punya kedai mahukan semula kedai tersebut.

Tidak pernah kenal erti putus asa, terkini Norlia membeli dua unit kedai di Pusat Perniagaan Oakland, Seremban bagi membangunkan perniagaan berasaskan masakan Barat. Nasib menyebelahinya apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melawat ke premisnya. Ketika itu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menggalakkan Norlia meningkatkan lagi pengeluaran. Mendapat permintaan daripada pelbagai restoran Barat terkemuka dan chef luar negara, Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan. Atas bantuan dan khidmat nasihat bagi mendapatkan spesifikasi kilang yang mempunyai Amalan Pengilangan Baik, Halal serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

"Di (premis) sini, saya mengeluarkan produk makanan baru Protess yang menggunakan campuran ubi kentang lecek dan pelbagai jenis inti," katanya.

Buat masa ini Norlia memberikan penekanan kepada lima jenis produk sementara Protess pula terdapat 19 jenis inti. Bagaimanapun kaedah pembuatan yang remeh menyebabkan Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan pelanggan. Bersama-sama 20 orang pekerja, Hajjah Aminah Food Industries telah menjadi anak angkat MARDI bagi tujuan membangunkan produk. Sehingga kini dia masih belum mempunyai mesin yang sesuai bagi menghasilkan protess hanya mampu menghasilkan sehingga 1,000 keping Protess sehari. Protess yang mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelanggan tetap.

"Saya amat berharap produk makanan Barat terutamanya protess bakal mendapat sambutan bukan hanya di negara ini tetapi juga di peringkat global," katanya.

Sumber:




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS